Friday, February 11, 2011

DIILHAMKAN DARI MASAKAN IBU...

Objektif kami untuk menyediakan sajian segar dan berkualiti bertemakan kehidupan di kampung kini semakin menghampiri matlamatnya. Bagi yang belum biasa, pastinya akan teragak-agak untuk menikmati sajian di sini kerana mungkin ragu-ragu tentang rasanya yang belum pasti. Apatah lagi dengan nama yang berlainan seperti Nasi Ayam Puteri, Laksa Seri Kantan dan Nasi Lemak Seri Siantan. Dikatakan pelik namun apabila dinikmati sendiri, pelanggan akan mengatakannya unik dan seleranya terpulanglah kepada anda sendiri.



Suasana terbuka di luar yang sentiasa dibelai angin sepoi-sepoi bahasa boleh dirasai sepanjang masa, tidak kira pagi, petang atau malam, malahan tengahari jugak anda akan berasa selesa berada di luar bumbung restoran ini yang sentiasa berangin dan segar.

Kami tidak sabar untuk membawa anda secara berkumpulan untuk menikmati sajian di sini, pagi, tengahari, petang atau malam dengan menu-menu yang kami sediakan atau yang anda tentukan. Dan pastinya kami ingin memberikan sesuatu yang terbaik yang bukan sahaja memenuhi selera anda, malahan keramahan layanan kakitangan kami beserta suasana hiasan dalaman sebuah galeri seni dan barangan antik bakal menyentuh perasaan anda yang meronta-ronta untuk pulang ke desa tetapi ditangguhkan kerana kesibukan kerja ataupun sudah tiada siapa lagi yang anda harus menjenguk di sana. Jadi apakata luangkan masa anda di sini, dan buatlah restoran ini seperti di rumah anda sendiri, minta apa yang terlintas dan teringat dalam selera anda, dan kami jelmaan ibu anda akan menjadikannya satu kebetulan. InsyaAllah.

Thursday, February 10, 2011

Restoran, Kafe dan Galeri Seri Siantan


Restoran Seri Siantan asalnya sebuah kafe yang beroperasi di rumah, sekitar tahun 2004. Menyediakan perkhidmatan bekalan makanan untuk penduduk Bandar Laguna Merbok secara khidmat penghantaran. Menu asalnya Nasi Lemak Seri Siantan yang dikekalkan sehingga ke hari ini. Selepas beroperasi selama 6 bulan, perniagaan ini
terpaksa ditutup atas sebab tertentu.



Walaubagaimanapun, pengasas perniagaan ini, Pn. Suzilina Nayan terus menyimpan cita-cita untuk meneruskan kembali perniagaan ini secara lebih teratur dan profesional pada suatu hari nanti, sehinggalah tiba saatnya hari ini, Disember 2010, Restoran Seri Siantan telah dibuka dengan konsep tradisional
bertemakan kehidupan kampung dan menumpukan kepada penyediaan masakan Melayu dan Nusantara.



Nama Seri Siantan diilhamkan dari lagu asli nyanyian Biduanita Dato’ Sharifah Aini.Selain menyediakan makanan kepada penduduk setempat, restoran ini juga merupakan sebuah galeri mempamerkan karya seni dan senifoto koleksi artist dan juga suami beliau yang bertemakan Kampung Life, iaitu kesinambungan dari pameran yang pernah diadakan di Galeri Universiti Sains Malaysia pada tahun 2001.



Melaluinya nanti, para pelanggan bukan sahaja dapat menjamu selera di restoran ini, malahan turut dapat menjamu mata menyaksikan pameran karya seni di sini. Ada kemungkinan juga pelanggan dapat melihat resident artist melukis di dalam restoran ini. Bagi peminat-peminat seni, anda boleh memiliki karya di sini atau membuat tempahan secara eksklusif.